Faktor kebangkitan dan kegemilangan sesuatu tamadun sudah tentu ditunjangi oleh tokoh – tokoh yang berwibawa di zaman mereka. Ulama’ juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan institusi pendidikan pada zaman tersebut, di antara kisah – kisah menarik mengenai tokoh ulama’ Andalusia adalah Ibnu Hazm.
Sejarah masih relevan menjadi topik yang diminati, tetapi dalam masa yang sama ia jugalah subjek yang tidak digemari. Itu rata-rata pendapat kebanyakan remaja hari ini. Justeru bukan sejarah itu sendiri yang membosankan, sebaliknya pendekatan pembelajaran yang memerlukan kemas kini agar sesuai dengan kelompok sasarannya.
Bagi umat Islam, sejarah bukan sekadar siapa, bila, di mana, berapa dan apa, malah BAGAIMANA. Mempelajari sejarah bertujuan menjelaskan enjin makro yang menggerakkan jatuh bangun tamadun manusia. Ia disebut sebagai IBRAH., sebaik-baik tawaran semalam untuk bekalan esok.
Sebagai seorang ustaz, motivator, malah seorang bapa, cabaran besar saya adalah pada mencari ‘connector’ yang boleh menghubungkan generasi anak-anak saya dengan ilmu-ilmu teras, termasuk sejarah.
Saya amat berbesar hati menyambut karya kreatif CREATIVE CALIPH bertaraf luar biasa, ZULQAR9, sebagai suatu inovasi besar kepada dunia pendidikan juga hiburan malahan dakwah. Kombinasi sejarah sebagai subjek pendidikan, elemen hiburan dan mesej dakwah, digabung dengan mantap, pada membentangkan ANDALUS sebagai lembaran ibrah khusus buat generasi pewaris masa depan umat. Webkomik amat efektif sebagai jambatan yang menghubungkan tradisi buku dan media digital. ZULQAR9 mencipta ‘benchmark’ yang tersendiri. Mencipta alternatif dalam menyampaikan kandungan seberat dan sepenting ANDALUS.
Dari sini mungkin nanti akan kedengaran bual dan bisikan anak-anak di sekolah akan keberanian Tariq Ziyad..Meneladani kepimpinan Khalifah Abdul Rahman… atau menerokai pemikiran Ibnu Rusyd. Luar jangkaan… namun sekurang-kurangnya mereka diberi pilihan meneladani dan mengambil pengajaran dari pengalaman yang akan dilalui oleh ZULQAR9 nanti. InsyaAllah.
“Saya dah berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri ini. To be realistic, you takkan dapat siap. It’s impossible you will finish 50 pages in a month. But, kalau you siap, jugak…maknanya Allah sayangkan you”.
Ouch! Bulat mata kami apabila Mentor berkata begitu. Tiada harapan langsung diletakkan kepada kami untuk menyiapkan komik digital Zulqar9 ini. Kecuali dengan izin Allah swt. Sesi mentoring yang diaturkan oleh Multimedia Development Corporation (MDeC) dirasakan terlalu lama pula pada hari itu. Terasa bahang walaupun berada di dalam bilik berhawa dingin.
Salah seorang dari pemenang yang juga seorang pelukis komik terkenal negara mula bertanya. “Macamana boleh tak siap?” “Banyak mukasurat kah?”…
“Tidak…” Kami membalas. “Mungkin kerana mengambil masa yang banyak untuk research.” Kami memberi alasan. “Ohoo… buat research sampai 5 bulan? Research sungguh tu…” Pelukis tersebut berseloroh.
Kami tersenyum kelat. Tiada mood lagi untuk menyusun kata-kata alasan. Melihatkan perbincangan dengan mentor tadi, jika tidak siap, surat ‘termination’ akan dikeluarkan. Membatalkan seluruh projek digital komik Zulqar9 kami…Batal? Oh, tidak! Sukar untuk digambarkan perasaan kami pada waktu itu. Sesungguhnya perancangan kami untuk komik Zulqar9 ini sememangnya besar. Ianya melibatkan banyak pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. RM20,000 suatu jumlah yang kecil untuk komik seperti Zulqar9. Namun inilah permulaan kisah kami sebagai pejuang Khalifah Kreatif™, melalui usaha kecil bakat seni anugerah kurniaan Illahi.
Begitulah di antara pengalaman yang sangat berguna dan cabaran yang pernah kami lalui sepanjang proses menyiapkan projek Zulqar9 Webkomik ini. Namun itu kisah 12 bulan yang lalu. Dan kini anda sedang menatapinya. Zulqar9 Webkomik menyimpan 1001 kisah, rahsia dan tips yang tidak sabar-sabar untuk kami kongsikan kepada anda, sang peminat dan pencinta ilmu pengetahuan.
Meminjam kata-kata tuan guru yang juga mentor kami Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, “Komik Zulqar9 ini bertaraf luar biasa!” Ya, atau mungkin yang sebenarnya ianya di luar dari kebiasaan. Komik yang dahulunya tidak diberikan harapan, dengan izin Allah swt siap dalam masa sebulan. Begitulah hukum Syariatullah dan Sunatullah. Alhamdulillah, perjalanan kami sebagai Khalifah Kreatif™ baru bermula. Kami perlukan sokongan. Dan kami juga mahukan ‘apprentice’.
Doakan perjuangan kami dalam usaha membentuk generasi Khalifah Kreatif™.
Adik-adik kita diluar sana perlukan panduan dan petunjuk dalam menggunakan bakat dan kemahiran seni kreatif untuk memakmurkan bumi Allah swt. Itulah peranan sebaik-baik khalifah.
“Apa? Sejarah? Tamadun Islam? Boleh jualkah? Siapa yang mahukan Andalusia?’’. Kami terkena tempias lagi apabila cuba mendapatkan dana untuk projek Zulqar9 versi Mobile App yang seterusnya baru-baru ini… Terkejut! Satu lagi pengalaman berharga buat kami dalam usaha mengembangkan sayap Zulqar9 kepada produk komersil.
“Produk Islam terlalu kecil ‘niche’ nya. Nanti apa kata pelabur-pelabur?” You pernah mengkaji kenapa filem Hantu Mak Limah mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit?…
Ha?….Hantu Mak Limah?
Perjuangan Khalifah Kreatif™ tetap kami diteruskan….
“Apa? Kamu belum pergi lagi? You should’ve been there?…. Macam tak percaya kamu belum pergi ke sana….’’
Itulah pertanyaan mereka setiap kali kami berhadapan dengan individu samada rakan, saudara mara, ataupun pihak-pihak dari organisasi luar dan termasuklah VIP sendiri. Mereka agak terkejut apabila mengetahui kami belum lagi menjejakkan kaki ke Andalusia, Sepanyol.
Zulqar9 Webkomik telah memenangi pelbagai anugerah, ironinya kami belum lagi sampai ke Andalusia.
Menghasilkan kajian dan pembangunan berasaskan ilmiah di samping metodologi yang melibatkan proses-proses kreatif produksi seperti komik ini sememangnya memerlukan banyak pengorbanan. Mendengar perbualan bersama sahabat dari IPTA yang berdekatan, peruntukan yang diperolehinya untuk menghasilkan kajian lapangan di lokasi sekitar Lembah Kelang pun mendapat dana beratus ribu ringgit. Walaubagaimanapun banyak perkara yang membuatkan kami lebih banyak bersyukur dan tidak mudah berputus asa. Kekangan masa, tenaga dan wang ringgit adalah bukti nyata ketidakhadiran kami selama ini di bumi Andalus tetapi tidak kepada zat Allah s.w.t yang Maha Pemurah… yang akhirnya menjadikan platform perkongsian ilmu ‘Zulqar9 Webkomik’ ini suatu realiti.
Bermula dari akhir tahun 2007, sumber internet menjadi rujukan utama. Pakar penasihat juga dicari. Geran pembangunan untuk prototaip juga berjaya diperolehi hasil dari kemenangan IPCC2009. Begitu juga bantuan kewangan dari orang perseorangan yang membolehkan kami membeli buku-buku dan peralatan. Seminar dan pembentangan kertas kerja kami sertai untuk mendapatkan prosiding dan jaringan persahabatan dari mereka yang lebih pakar mengenai tamadun Islam Andalusia. Dan akhirnya sampai kepada sumber ilmu dan kajian paling kami minati. Ianya adalah pameran yang selama ini kami tunggu-tunggu. Memandang ke belakang semula, masih tidak percaya yang kami terlepas peluang ke pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam yang pernah diadakan di KLCC pada tahun 2007 yang lalu. Semuanya atas ketidaksedaran dan kejahilan kami pada waktu itu.
Travelog pertama
Ketika sedang memandu, terdengar iklan di radio IKIM mengenai Pameran Al-‘Ilm: Pameran Sains dan Inovasi Di Dunia Islam yang diadakan di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur. Pameran ini sebenarnya telah berlangsung sejak bulan Februari 2011 lagi dan akan berakhir pada bulan 30 Jun 2011 ini. Mengingatkan tarikh ketika itu adalah bulan April, hanya ada masa lebih kurang dua bulan lagi sebelum pameran ini melabuhkan tirainya. Tanpa berlengah, keesokkan harinya kami terus ke sana. Dan apa yang kami perolehi ternyata tidak sia-sia.
Perjalanan ke Jalan Perdana, Kuala Lumpur tidaklah begitu sukar. Ianya terletak tidak jauh dari Masjid Negara, Pusat Islam dan Taman Burung Kuala Lumpur. Melawat Muzium Kesenian Islam pada hari-hari biasa (hari kerja) dan bukannya pada hari minggu atau cuti umum adalah lebih selesa-beranggapan tidak ramai orang akan ke sana, walaupun tidak dirancang dari awal lagi.
Sampai di ruang legar kami disambut oleh tiga orang penyambut tetamu wanita dan seorang pemandu pelancong lelaki yang sudah menunggu di kaunter. Bayaran yang dikenakan adalah RM12 bagi orang dewasa. Melihatkan mereka yang peramah dan mudah untuk berbicara, kami terpanggil untuk bertanyakan beberapa soalan.
“Kedatangan kami bukan sekadar melawat, jika diberi keizinan kami ingin mengambil gambar sebagai koleksi bahan kajian kami”. Penyambut tetamu tadi memandang sesama mereka. Dari reaksi mereka, rasa-rasanya mereka sudah biasa dengan pertanyaan seperti itu. Salah seorang dari mereka mula memberi penjelasan. “Gambar dibenarkan tanpa flash. Tapi jika tuan mempunyai surat rasmi untuk menjalankan kajian di sini, kami akan sediakan pemandu pelancong khas dan jika tuan berminat untuk mengadakan sesi temuramah dengan pegawai kami disini pun insyaAllah kami boleh uruskan. ” Kami berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Namun dalam masa yang singkat ini, kami cuba untuk melawat dahulu ke pameran yang terletak di Galeri Khas, tingkat satu muzium. Sampai di Muzium lebih kurang pukul 10 pagi. Pukul 12 tengahari pula ada urusan penting yang lain. Dalam masa dua jam ini kami akan cuba manfaatkan sepenuhnya. Dengan menaiki lif di sebelah kanan pintu masuk Muzium, kami beransur-ansur meninggalkan ruang legar dan penyambut tetamu buat seketika.
Kini kami sudah pun berada di hadapan pintu masuk Galeri Khas Pameran Al-Ilm: Sains dan Inovasi di Dunia Islam. Benar, kami belum lagi pergi ke Andalusia, Baghdad, Mesir ataupun Turki…. Tetapi apabila kami memasuki dan berada di ruang dalaman Galeri Khas ini, rekaan dalaman, poster grafik dan lukisan catan, susun atur artifak dan alunan muzik latar instrumental dari Timur Tengah menghidupkan mood dan suasana. Ketika sibuk mengeluarkan kamera digital dan iPad untuk aktiviti dokumentasi, wajah kami terpaling pada suatu sudut yang mempamerkan papan informasi yang bertulis-“KEDATANGAN ISLAM DI AL-ANDALUS’’. Kami tersenyum, mengakhiri kekaguman berada di pameran ini buat seketika. Kerana yang lainnya kami sudah pun sibuk mencerna seribu satu idea-idea kreatif untuk dibawa pulang ke studio kami di Creative Caliph. Zulqar9 Webkomik adalah satu permulaan bagi kami dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam melalui Multimedia Kreatif.